ANGGOTA bomba melakukan pencarian kereta yang dilaporkan terjatuh di Sungai Santap. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA bomba melakukan pencarian kereta yang dilaporkan terjatuh di Sungai Santap. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


SEBUAH kereta terbabas lalu terjunam ke dalam Sungai Santap, Pokok Sena malam tadi.

Bagaimanapun, setakat ini belum diketahui keadaan dan jumlah mangsa dalam kenderaan itu.

Komander Operasi Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Penguasa Bomba Y Anbarasan berkata, pihaknya menerima panggilan 11.08 malam berhubung kes itu.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena tiba di lokasi 11.53 malam untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, seramai 19 anggota terbabit dalam operasi SAR itu dan turut dibantu lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra.

“Setakat ini kita sudah mengenal pasti kedudukan kereta berkenaan dan anggota BBP Pokok Sena sudah menanda kedudukan kereta berkenaan selepas 30 minit pencarian dilakukan.

“Usaha menaikkan kenderaan itu sedang dilakukan setakat ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Anbarasan berkata, kedalaman sungai itu adalah tiga meter dan proses kerja menaikkan kenderaan berkenaan masih lagi dijalankan hingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 1:48 AM