Dzulkefly (tengah) bersama Zuraida dan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye ketika melancarkan Kempen Restoran Tanpa Asap dan Tembakau di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Dzulkefly (tengah) bersama Zuraida dan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye ketika melancarkan Kempen Restoran Tanpa Asap dan Tembakau di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Suhaila Shahrul Annuar

KEMENTERIAN Kesihatan menegaskan larangan merokok di tempat makan bukan bersifat ‘hangat-hangat tahi ayam’ atau bermusim sebagaimana digusarkan oleh orang ramai di media sosial.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penguatkuasaan larangan berkenaan yang berkuatkuasa 1 Januari lalu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat maju yang penuh bertamadun menjelang 2020.

“Masih terlalu awal untuk katakan kempen ini berjaya sebab baru tiga hari dilaksanakan, tetapi saya percaya jika berterusan, ia mencapai hasrat kerajaan selama ini.

“Kita tidak bermusim dalam soal ini, kerana aktiviti penguatkuasaan dijalankan 24 jam setiap hari,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Promosi Tempat Makan sebagai Tempat Dilarang Merokok dan Majlis Pelancaran Program Restart (Restoran Tanpa Asap Rokok dan Tembakau) di Putrajaya, semalam.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan juga sedia menerima sebarang maklum balas dan cadangan daripada orang ramai bagi memastikan penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan berjaya dilaksanakan.

“Kita juga akan mempertimbang cadangan ruangan khas untuk merokok sebagaimana yang dilaksana di Jepun, namun dalam masa enam bulan ini, kementerian akan memfokuskan penguatkuasaan secara mendidik dengan memberi notis amaran kepada mereka yang ingkar,” katanya.

Katanya, setakat dua hari penguatkuasaan peraturan itu, pemeriksaan di 5,746 premis sudah dilaksanakan dan 2,500 notis amaran dikeluarkan.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, kementeriannya akan memberi sokongan kepada usaha itu daripada segi pengkuatkuasaan.

“Penguatkuasaan larangan merokok ini hanya membabitkan 10 peratus ruang yang ada dan perokok boleh memilih 90 peratus lagi ruang merokok yang lain kita tidak akan ambil hak untuk merokok.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran menggiatkan kerjasama dengan penguatkuasa dari Kementerian Kesihatan bagi memastikan peraturan larangan ini dapat dikuatkuasakan dengan cekap.

“Pemeriksaan terhadap restoran yang dijalankan oleh PBT dari semasa ke semasa juga perlu bagi memantau pelaksanaan peraturan larangan ini yang mesti dipatuhi oleh pengusaha dan pengunjung restoran.

“Tindakan ini juga mencerminkan usaha kerajaan dalam membentuk Malaysia sebagai sebuah negara maju berasaskan pembangunan komuniti dan generasi mampan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 4:43 PM