FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Mempamerkan tanda larangan merokok dan tidak menyediakan bekas abu rokok adalah tanggungjawab utama pemilik premis, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, ia termaktub di bawah Peraturan 12(1)(a) dan 12(1)(b) di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Beliau berkata, pihaknya juga meneruskan perkara sama di bawah akta baharu iaitu Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bagi memastikan masyarakat kekal patuh untuk tidak merokok di tempat larangan merokok.

Katanya, berdasarkan libat urus yang diadakan sebelum ini, terdapat permohonan daripada peniaga yang meminta mereka tidak dikenakan kompaun jika ada pelanggan merokok di premis.

"Yang penting bagi kami (Kementerian Kesihatan) adalah tanda-tanda larangan merokok itu mereka letak di tempat-tempat yang sewajarnya dan mereka tidak menyediakan tempat abu rokok.

"Ini bermaksud mereka tidak menggalakkan orang merokok dan kita tahu peniaga-peniaga ini tentunya mereka mengingatkan jika ada pelanggan merokok tetapi mereka tak sanggup untuk sampai bergaduh.

"Jadi adalah tidak adil untuk kita mengenakan kompaun kepada mereka ketika mereka telah menjalankan peraturan-peraturan yang ditetapkan seperti meletakkan notis larangan merokok dan tidak menyediakan tempat abu rokok untuk perokok," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Wellness Hub Terengganu di perkarangan Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan mempunyai tatacara tertentu sebelum tindakan mengeluarkan notis kesalahan kepada pemilik premis ketika penguatkuasaan dilaksanakan.

Katanya, premis akan diperiksa sama ada mereka menyediakan kelengkapan untuk merokok atau bekas abu rokok serta membiarkan perokok merokok secara berleluasa yang menunjukkan pemilik gagal memastikan premis mereka bebas daripada aktiviti merokok.

Harian Metro sebelum ini melaporkan isu kompaun kepada pemilik restoran yang gagal memastikan tiada pelanggan merokok di premis dibincangkan bersama Dr Dzulkefly pada Rabu lalu.

Masalah berkenaan yang dibangkitkan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) sebelum ini mendapat maklum balas yang positif termasuk keperluan untuk mengkaji semula akta berkaitan.

Antara yang dibangkitkan termasuklah pemilik premis tidak mempunyai kuasa untuk menghalang orang ramai merokok di premis selain berdepan risiko dimarahi pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 4:23 PM