LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Zatul Iffah Zolkiply


SERAMAI 10 daripada 13 Orang Asli yang dirawat di Hospital Hulu Terengganu (HHT) disahkan positif measles (demam campak) manakala tiga lagi masih menunggu keputusan makmal.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohd Jusoh berkata, daripada jumlah itu, empat pesakit masih dirawat di HHT, manakala sembilan lagi sudah dibenarkan pulang pada Khamis lalu dengan tiga daripadanya diberi suntikan vaksin measles.

“Dua pesakit iaitu bayi berusia 10 bulan dan kanak-kanak berusia satu tahun diberi vitamin A kerana mempunyai masalah kekurangan berat badan mengikut usia yang sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di Kuala Terengganu, hari ini.

Pada 12 Jun lalu, seramai lapan Orang Asli dari Kuala Koh, Kelantan dimasukkan ke HHT dengan tujuh daripadanya mengalami simptom jangkitan saluran pernafasan, manakala seorang lagi mengalami cirit birit, sakit perut serta muntah dan menerima rawatan sebagai pesakit Acute Gastroenteritis (AGE).

Dua lagi Orang Asli dari Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu turut dimasukkan ke HHT pada 14 dan 17 Jun lalu kerana mengalami simptom sama.

Selain itu, dua lagi Orang Asli dari Kuala Koh, Kelantan turut dimasukkan ke hospital sama pada Selasa lalu selepas mengalami simptom jangkitan saluran pernafasan.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 4:05 PM