Antara penuntut KUIS yang mendapatkan rawatan di Hospital Serdang sebelum dibenarkan pulang. FOTO Aswadi Alias
Antara penuntut KUIS yang mendapatkan rawatan di Hospital Serdang sebelum dibenarkan pulang. FOTO Aswadi Alias
Mohd Azam Shah Yaacob


LAUK ayam masak kicap yang sedikit berbau ketika dimakan tengah hari tadi mungkin menjadi punca 110 penuntut Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah.

Penuntut Mohd Aqil Adnan, 18, berkata, ketika menjamah hidangan tengah hari beberapa rakannya mengadu ayam yang dimakan sedikit berbau dan tidak sedap dimakan.

Bagaimanapun katanya, mereka tetap menikmati hidangan itu kerana lapar dan tidak mengesyaki juadah itu berkemungkinan tercemar.

“Memang ketika makan tengah hari ada beberapa rakan mengadu lauk ayam masak kicap sedikit berbau.

“Tapi kami tidak mengesyaki lauk itu tercemar dan terus makan kerana lapar selepas menjalani program orientasi,” katanya ketika ditemui di perkarangan Pusat Koordinasi Perubatan Kecemasan Hospital Serdang.

Mohd Aqil berkata, selepas selesai solat Maghrib, beberapa rakannya mengadu sakit perut serta mual sebelum dia turut merasainya.

“Pada waktu itu setiap seorang daripada kami muntah tanpa henti.

“Malah saya sendiri muntah lebih kurang tujuh kali sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, penuntut Diploma Quran Sunnah, Muhammad Iman Marzuki, 19, berkata, mereka terpaksa beratur panjang untuk menggunakan tandas akibat cirit-birit dan sakit perut.

“Waktu itu setiap seorang daripada kami mengadu sakit perut selain kepala dan badan rasa tidak selesa.

“Kami terpaksa beratur serta berebut-rebut menggunakan tandas,” katanya.

Muhammad Iman berkata, kini rasa sakit perut dan mual serta muntah berkurangan selepas menerima rawatan.

Tinjauan Harian Metro pada 1.40 pagi ini mendapati sebahagian penuntut sudah dihantar pulang ke kolej kediaman masing-masing di KUIS selepas mendapat rawatan dan dibenarkan pulang oleh hospital.

Berita berkaitan

Ayam kurma punca 110 penuntut keracunan?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 2:05 AM