Muhaamad Hafis Nawawi


“SAYA mula berasa sakit perut ketika bangun untuk bersahur, namun ia hilang seketika selepas solat Subuh sebelum mula cirit-birit ketika berada di dalam kelas.”

Begitu kata penuntut Diploma Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR) di Alor Setar, Muhammad Afham Anwar, 20, salah seorang lebih 40 penuntut berusia 18 hingga 20 tahun yang mengalami keracunan makanan selepas mereka makan nasi Arab berlaukkan ayam dan kambing.

Akibatnya kira-kira 20 penuntut terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas mengalami simptom teruk muntah dan cirit-birit manakala sebahagian lagi menerima rawatan di IQDAR.

Juadah itu sumbangan sebuah restoran makanan Arab di Alor Setar yang diberi sekitar 12 tengah malam kepada penuntut terbabit yang tinggal di asrama IQDAR.

Muhammad Afham yang mengambil jurusan Tahfiz al-Quran dan Qiraat berkata, ada penuntut terus makan sebaik menerima makanan itu dan ada yang menyimpan untuk bersahur.

Menurutnya, dia makan nasi Arab itu sekitar 2 pagi dan ketika itu lauk ayam dan kambing masih dalam keadaan elok serta tidak berbau.

“Bagaimanapun ketika bangun untuk bersahur pula saya mula berasa sakit sangat di perut sebelum ia hilang selepas Subuh.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa kemudian terus masuk ke kelas untuk belajar sekitar 8 pagi sebelum sakit perut itu datang semula dan cirit birit,” katanya ketika ditemui di IQDAR, hari ini.

SEBAHAGIAN penuntut IQDAR menerima rawatan apabila mengalami keracunan makanan selepas makan nasi arab berlaukkan ayam dan kambing sekitar 12 tengah malam tadi dan ketika bersahur. FOTO Shahrizal Md Noor
SEBAHAGIAN penuntut IQDAR menerima rawatan apabila mengalami keracunan makanan selepas makan nasi arab berlaukkan ayam dan kambing sekitar 12 tengah malam tadi dan ketika bersahur. FOTO Shahrizal Md Noor

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Marwadah Anuar, 20, berkata, dia mula menjamah nasi Arab berlaukkan ayam itu pada 5 pagi.

“Nasi ketika itu masih elok cuma ayam sedikit berbau, namun saya tetap makan untuk bersahur.

“Bagaimanapun mujur saya tidak mengalami simptom yang teruk seperti cirit-birit dan muntah sebaliknya hanya berasa pening kepala,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah IQDAR, Muhammad Yusni Yaakob berkata, pihaknya hanya menyedari kes keracunan makanan itu sekitar 8 pagi apabila pensyarah memberitahu ramai tidak hadir ke kelas.

“Selepas diselidik rupa-rupanya ramai penuntut keracunan makanan selepas mereka bersahur dengan nasi Arab disumbangkan sebuah restoran.

“Cumanya kami di pihak pengurusan tidak mengetahui sumbangan itu diberi malam tadi kemungkinan restoran itu menyerahkan di depan pintu pengawal keselamatan sebelum diagihkan,” katanya.

Muhammad Yusni berkata, pihaknya difahamkan 150 bungkus diedarkan kepada penuntut dan kebanyakan yang mengalami simptom keracunan makanan selepas makan ketika bersahur.

“Sebahagian penuntut dihantar pihak pengurusan ke hospital manakala yang tidak beberapa teruk menerima rawatan di sini selepas pihak hospital menghantar kakitangannya ke sini.

“Bagaimanapun keadaan terkawal dan pembelajaran berjalan seperti biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 3:41 PM