DATUK Salahuddin Ayub (tengah) dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (dua dari kiri), Pengurus Besar NAFAS, Ahmad Shaari (dua dari kanan) pada majlis rumah terbuka NAFAS. FOTO Supian Ahmad
DATUK Salahuddin Ayub (tengah) dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (dua dari kiri), Pengurus Besar NAFAS, Ahmad Shaari (dua dari kanan) pada majlis rumah terbuka NAFAS. FOTO Supian Ahmad
Mohamad Hussin


KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengumumkan dividen Dana Peladang Kebangsaan (DPK) sebanyak lapan peratus bagi Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) membabitkan 5,119 pelabur.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, jumlah keseluruhan agihan dividen bagi tahun 2018 sebanyak RM7.6 juta iaitu naik 0.7 peratus berbanding RM7.5 juta pada 2017.

Beliauberkata, DPK mencatatkan keuntungan sebanyak RM9.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

“Walaupun dividen nominal jika dibandingkan dengan 2017, DPK mampu memberikan pulangan kompetitif dan melebihi kadar inflasi secara konsisten meskipun purata dividen sebenar bagi tiga tahun secara berturut-turut adalah 9.3 peratus .

“DPK telah menetapkan polisi dividen supaya agihan dividen tidak melebihi kadar maksimum yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman dividen DPK dan majlis rumah terbuka Aidilfitri Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) 2019, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi NAFAS Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Pengurus Besar NAFAS Ahmad Shaari.

Salahuddin berkata, walaupun kadar dividen menurun tetapi jumlah agihan dividen bertambah daripada RM7.5 juta kepada RM7.6 juta yang bakal diterima 5,119 pelabur.

“Meskipun 2018 adalah tahun sukar dan didominasi ketidaktentuan pasaran, DPK akan terus fokus kepada strategi pembiayaan.

“Ia termasuk kepelbagaian portfolio perbendaharaan bagi memberikan daya tahan dan pulangan memberangsangkan kepada ahli DPK di masa akan datang.

“DPK sentiasa berusaha mempertingkatkan prestasi untuk menjadi lebih kukuh dan telah mula mempelbagaikan aktiviti pelaburan dengan alternatif pelaburan berisiko rendah serta sederhana rendah selain meneroka produk pembiayaan baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 8:10 PM