MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bersama Chong Wei dan isterinya pada sidang media pengumuman persaraan pemain badminton negara itu, semalam. FOTO Luqman Hakim Zubir
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bersama Chong Wei dan isterinya pada sidang media pengumuman persaraan pemain badminton negara itu, semalam. FOTO Luqman Hakim Zubir
Idris Musa


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali merakamkan penghargaan kepada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang mengumumkan bersara, semalam.

“Saya berasa terharu dan sedih kerana ‘champion’ kita sudah bersara. Saya harap dia dapat rehat dan dapat sembuh daripada penyakit yang dihadapi olehnya.

“Saya ucap banyak terima kasih kepada Chong Wei kerana meletak Malaysia dalam sukan dunia sebagai juara berkali-kali.

“Kami akan berasa kehilangan ‘champion’ kita dan Chong Wei terpaksa bersara,” kata Dr Mahathir menerusi rakaman video pendek dimuat naik di laman Facebook beliau, hari ini.

Dr Siti Hasmah yang melahirkan rasa bangga beliau dengan pencapaian jaguh badminton negara itu tidak ketinggalan meniupkan kata-kata semangat buat Chong Wei.

Katanya, kesihatan diri memang amat penting dan Chong Wei memilih keputusan yang betul apatah lagi keluarga, anak dan isteri sedang menunggu.

“Anda perlu membimbing mereka bermain badminton. Insya-Allah, anda akan lihat anak anda bermain badminton dan dapatkan pingat emas dalam sukan Olimpik untuk anda dan mereka ada peluang untuk melakukannya.

“Chong Wei, saya berdoa agar anda dikurniakan kesihatan yang baik, bergembira dan bahagia dengan keluarga dan anak-anak.

“Selamat maju jaya, jangan menyesal. Seperti saya katakan, anda telah lakukan yang terbaik untuk negara, untuk diri anda dan kita semua. Terima kasih,” katanya.

Chong Wei, 37, yang berumah tangga dengan Datin Wong Mew Choo hampir tujuh tahun lalu dikurniakan dua anak lelaki - Kingston Lee dan Terencce Lee, masing-masing berusia enam dan empat tahun.

Beliau menamatkan kariernya sepanjang 19 tahun dengan 69 gelaran termasuk 47 gelaran juara Siri Super sekali gus menobatkannya sebagai ‘King of Super Series’.

Chong Wei muncul juara Terbuka Malaysia sebanyak 12 kali, juara Terbuka Jepun lima kali dan juara All England empat kali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 5:52 PM