Norrasyidah Arshad


DATUK Bandar Shah Alam baharu Datuk Haris Kasim mengangkat sumpah jawatan itu di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Shah Alam hari ini.

Haris, 57, mengangkat sumpah jawatan itu dengan disaksikan Orang Besar Daerah Petaling, Datuk Emran Kadir; Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan serta Ahli Majlis MBSA.

Sebelum ini, Haris adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sejak 2015.

Haris berkata, beliau menggariskan lima teras dalam menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya yang selamat, selesa dan sejahtera (3S).

Katanya, fokus utama adalah terhadap perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam termasuk memperkasakan kerja berkaitan perkara itu.

“Selain itu, kita akan mendekati masyarakat melalui aktiviti turun padang serta menyedia dan mempelbagaikan perkhidmatan dalam talian melalui pembudayaan teknologi.

“Tumpuan juga akan diberikan untuk menambah hasil MBSA melalui kutipan tunggakan dan meningkatkan hasil majlis melalui sumber hasil baharu.

“Kita turut mahu memperkasakan sumber manusia iaitu dengan memantapkan pengetahuan dan kemahiran kakitangan melalui kursus serta latihan,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Anak kelahiran Perak itu adalah datuk bandar kelapan, menggantikan Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Ketua Pengarah, Tanah & Galian (JKPTG), Januari lalu.

Haris berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Malaya (UM) selain mempunyai Diploma dalam Pentadbiran dan Pengurusan Awam dari Institut Tadbiran Awam (INTAN).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor dari 2005 hingga 2011, pegawai daerah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat pada 2011 serta pegawai daerah PDT Sepang (2012 hingga 2014).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 1:57 PM
Mohd Rashidi (kiri) menyerahkan nota serah tugas kepada Haris sambil disaksikan Timbalan Setiausaha MBSA, Ir Cheremi Tarman (tengah). FOTO Saddam Yusoff
Mohd Rashidi (kiri) menyerahkan nota serah tugas kepada Haris sambil disaksikan Timbalan Setiausaha MBSA, Ir Cheremi Tarman (tengah). FOTO Saddam Yusoff