Mary Victoria Dass


HUJAN lebat dan renyai yang bersilih ganti tidak menghalang kira-kira 10,000 pengunjung ke Rumah Terbuka Aidilfitri Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini.

Orang ramai mula berkumpul seawal 8 pagi di pintu istana bagi memeriahkan majlis rumah terbuka diadakan mulai 10 pagi hingga 2 petang.

Malah keberangkatan tiba Sultan Ibrahim bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah pada 10 pagi disambut meriah ribuan pengunjung.

Secara kebetulan, hujan renyai dan lebat bersilih ganti menyebabkan pengunjung terpaksa berteduh di bawah khemah disediakan.

Pengunjung, Marissa Salim, 24, berkata dia dan keluarga dari Kulai tidak melepaskan peluang memeriahkan rumah terbuka itu selepas membaca hebahan dimuat naik dalam laman Facebook Sultan Johor.

“Setiap kali tuanku menganjurkan rumah terbuka, kami sekeluarga pasti akan memeriahkannya kerana ia adalah peluang keemasan untuk kami bertemu baginda, permaisuri dan keluarga kerabat yang berjiwa rakyat.

“Sebagai rakyat Johor, penganjuran majlis seumpama ini amat bermakna kerana ia mengurangkan jurang antara penduduk dan istana serta mengeratkan silatulrahim.

“Selain dapat bersalam keluarga Diraja kami mengambil peluang merakam gambar bersama-sama dan ia menjadi kenangan indah,” katanya.

Pengunjung, Sock Chee, 38, berkata, selain menikmati pelbagai jenis juadah termasuk makanan tradisional masyarakat Johor, orang ramai yang mengunjungi majlis berkenaan turut mengambil peluang bagi mengenali lebih rapat keluarga kerabat.

“Saya dan rakan mengambil peluang cuti perayaan ini untuk hadir ke majlis ini dan kami seronok dapat menikmati pelbagai makanan tradisional Melayu Johor.

“Malah kami gembira apabila dapat mengenali keluarga kerabat dengan lebih rapat,” katanya.

Sultan Ibrahim serta keluarga diraja turut menerima kunjungan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, barisan EXCO serta Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 10:54 PM
SULTAN Ibrahim Iskandar berkenan dan beramah mesra dengan rakyat yang hadir memeriahkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Istana Johor di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini. FOTO  Mohd Azren Jamaludin.
SULTAN Ibrahim Iskandar berkenan dan beramah mesra dengan rakyat yang hadir memeriahkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Istana Johor di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin.