Raja Noraina Raja Rahim

Gambar Iqmal Haqim Rosman

Seremban: “Kok tak do mantai (kalau tak ada mantai), ghayo monung yo lah (hari raya termenung saja),” kata pesara tentera, Mohd Hamzan Borhan, 57, yang tidak pernah melepaskan peluang menghadiri program Mantai Perdana diadakan setiap tahun.

Tradisi mantai atau melapah daging lembu di Negeri Sembilan yang menjadi amalan Adat Perpatih turun-temurun diteruskan kerajaan negeri dan kekal meriah.

Mohd Hamzan yang menetap di Taman Desa Rhu, Sikamat, berkata, mantai cukup sinonim dengan masyarakat di negeri ini dan menarik kunjungan ramai.

“Setiap kali diadakan mantai saya pasti akan berkunjung dan membeli daging yang dijual pada harga lebih murah berbanding pasaran. Semalam saya beli daging di pasar RM33 sekilogram tetapi di sini ia dijual pada harga RM29 sekilogram.

“Sejak kecil lagi saya sudah mengikut emak dan ayah ke program mantai. Jadi apabila saya bekerja dan merantau ke negeri orang, saya tidak dapat merasai kemeriahan mantai seperti di Negeri Sembilan.

“Sekarang sudah bersara, saya teruskan tradisi itu walaupun kaki saya sudah tidak kuat lagi akibat kemalangan jalan raya,” katanya ketika membeli daging di Mantai Perdana di Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat di Seremban, hari ini.

Kira-kira 1,000 penduduk setempat beratur untuk mendapatkan daging pada program dianjurkan kerajaan negeri itu yang bermula seawal jam 7 pagi.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, program mantai pada tahun ini diperluaskan ke 11 lokasi di semua daerah bagi memberi peluang kepada masyarakat di luar kawasan Seremban mendapatkan bekalan daging.

Beliau berkata, 38,000 kilogram daging lembu yang akan memberi manfaat kepada 12,666 penduduk dijual pada program mantai kali ini.

“Harga yang ditawarkan adalah sebanyak RM29 sekilogram bagi daging pejal iaitu lebih murah berbanding pasaran yang dijual sekitar RM36 sehingga RM38 sekilogram.

“Kita juga menawarkan harga lebih murah bagi daging batang pinang iaitu RM35 sekilogram, tulang dan organ dalaman (RM29). Selain itu, pelbagai barangan keperluan lain turut dijual termasuk ayam daging, ayam kampung, itik salai, daging salai, puyuh salai dan telur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 9:56 PM
ORANG ramai beratur bagi mendapatkan bekalan daging sempena Program Mantai Perdana 2019 di Masjid Dato' Klana Petra Mohd Yusof, Sikamat. FOTO Iqmal Haqim Rosman
ORANG ramai beratur bagi mendapatkan bekalan daging sempena Program Mantai Perdana 2019 di Masjid Dato' Klana Petra Mohd Yusof, Sikamat. FOTO Iqmal Haqim Rosman