ANGGOTA bomba mengusung mangsa serangan buaya untuk dihantar ke Hospital Marudi. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengusung mangsa serangan buaya untuk dihantar ke Hospital Marudi. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


SEPARUH badannya sudah berada dalam rahang buaya, namun lelaki mengerah segala tenaganya untuk melepaskan diri dari cengkaman reptilia itu.

Itu yang berlaku kepada Christopher Jau Lihan, 31, yang parah selepas bergelut dengan buaya di sungai kampung Kuala Tutoh, di Marudi, tengah malam tadi.

Kejadian itu berlaku ketika Christopher yang menaiki perahu, sedang menjala ikan di sungai apabila reptilia tiba-tiba muncul di permukaan.

Sumber berkata, Christopher yang terkejut dengan kehadiran buaya itu cuba melarikan diri, namun tidak sempat apabila reptilia itu melibas ekornya menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai.

Beliau berkata, buaya itu kemudian menyambar Christopher, namun mangsa berusaha sedaya upaya melepaskan diri.

“Mangsa berjaya melepaskan diri, namun ketika bergelut, buaya itu menggigit kaki dan bahagian badannya menyebabkan mangsa mengalami luka teruk. Dia bernasib baik apabila buaya itu melepaskan gigitannya.

“Mujur kejadian itu disedari isterinya yang berada di pondok berdekatan tempat kejadian dan dia membantu suaminya yang parah itu naik ke darat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.57 pagi tadi dari pihak Hospital Marudi bagi meminta bantuan khidmat khas mengangkat mangsa dari bot untuk dibawa ke hospital.

“Lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Marudi dikejarkan ke jeti bot ekspres Marudi dan kemudian membantu mengusung mangsa dari bot untuk dipindahkan ke ambulans sebelum dikejarkan ke Hospital Marudi.

“Mangsa dalam keadaan sedar, tetapi mengalami pendarahan yang banyak akibat luka yang agak besar di kaki kanan dan bahagian badannya,” katanya.

Poh Kiong berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Miri pada 5 pagi tadi berikutan kecederaan yang dialaminya parah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 11:26 AM