ANGGOTA Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Langkawi berusaha menaikkan seekor anak lembu seberat 80 kg yang terjatuh dalam longkang di Kampung Kuah. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Langkawi berusaha menaikkan seekor anak lembu seberat 80 kg yang terjatuh dalam longkang di Kampung Kuah. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi menaikkan seekor anak lembu seberat 80 kilogram yang terperangkap dalam longkang pada kedalaman kira-kira empat meter, di Kampung Kuah, Langkawi, semalam.

Pegawai Bencana, Operasi dan Latihan APM Langkawi, Leftenan (PA) Azamshah Apearel berkata, lembu itu dipercayai terperangkap dalam longkang berkenaan sejak dua hari lalu.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.32 malam dan sepasukan anggotanya tiba di lokasi 9.46 malam.

“Sebaik tiba di situ, didapati anak lembu itu masih berada di dalam longkang berkenaan dalam keadaan lapar.

“Berikutan itu, anggota kami terpaksa merangkak ke dalam longkang itu dalam keadaan gelap dan berhati-hati untuk mengelak bahaya selain bimbang lembu itu bertindak lebih agresif yang boleh mengancam keselamatan anggota,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azamshah berkata, operasi menaikkan anak lembu itu bermula pada 9.48 malam dengan menggunakan tali dan peralatan keselamatan.

Beliau berkata, usaha ‘memujuk’ anak lembu itu dilakukan hampir dua jam untuk memudahkan ia ditangkap dan akhirnya berjaya dilakukan anggotanya.

“Operasi menaikkan anak lembu itu selesai pada 12.39 malam tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 10:17 AM