Lori tangki yang membawa muatan simen terbabas dan masuk gaung. FOTO Ihsan Bomba
Lori tangki yang membawa muatan simen terbabas dan masuk gaung. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Sabran Md Sani


DUA lelaki maut termasuk seorang rentung selepas lori tangki dinaiki mereka terbabas dan masuk gaung sedalam tiga meter di Jalan Ulu Tebrau ke Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru hari ini.

Kejadian 7.30 pagi itu turut mengakibatkan penumpang lori tangki bermuatan simen itu patah bahu dan dikejarkan ke hospital berdekatan.

Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Anuar Amdzah berkata, enam anggota bomba bersama jentera bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 7.38 pagi.

Katanya, turut membantu tujuh anggota dari BBP Tebrau bersama sebuah EMRS serta tiga anggota bersama satu water tanker dari BBP Johor Bahru.

“Lori simen itu dikatakan terbabas dan masuk gaung kira-kira tiga meter dan terdapat tiga mangsa dengan identiti belum diperoleh.

“Siasatan awal pemandu lori meninggal dunia akibat tercampak keluar dari kenderaan manakala kelindannya rentung di tempat tidur lori itu.

“Turut cedera seorang penumpang yang patah bahu dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya sambil menyatakan operasi masih diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 10:28 AM