Norizuan Shamsuddin

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan empat individu termasuk dua pengarah agensi pekerjaan yang disyaki menawarkan khidmat pendaftaran program pemutihan warga asing dalam serbuan di dua premis di Kawasan Perniagaan Desa Ria, Seri Kembangan, hari ini.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, semua suspek ditahan hasil operasi bersepadu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Sumber Manusia dan Pasukan Petugas Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO), Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, operasi dilakukan susulan risikan dilakukan mendapati terdapat syarikat dan individu yang aktif membuat pemasaran bagi pendaftaran warga asing untuk diputihkan.

“Hasil pemeriksaan mendapati disyaki terdapat unsur penipuan dijalankan berdasarkan penemuan sejumlah 29 pasport warga asing, resit pendaftaran serta iklan di premis.

“Seorang lelaki warga asing yang disyaki menyalahgunakan pas bekerja di premis terbabit turut ditahan.

“Sehubungan itu, dua pengarah syarikat dan seorang pegawai pemasaran ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 56(1)(f) Akta Imigresen 1959/63,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Khairul berkata, siasatan awal mendapati modus operandi syarikat adalah dengan menggunakan saluran media sosial bagi mensasarkan majikan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk didaftarkan.

Katanya, syarikat terbabit juga mengenakan sejumlah bayaran sebagai deposit untuk penyertaan program pemutihan.

“Kami percaya aktiviti terbabit dilakukan sejak Februari 2019 dan syarikat terbabit juga banyak mengaut keuntungan atas angin dengan mendaftar sejumlah besar PATI sepanjang tempoh itu.

“JIM memandang serius perkara ini kerana ia adalah satu sindiket penipuan dan program rehiring sudah tamat pada 30 Jun tahun lalu,” katanya.

Khairul turut menasihatkan majikan supaya berhati-hati serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran seperti ini.

Katanya, majikan dan warga asing dinasihatkan merujuk terus kepada JIM bagi mendapatkan maklumat berkaitan.

“JIM juga memberi amaran kepada mana-mana syarikat agensi pekerjaan yang terbabit dalam aktiviti penipuan seperti ini supaya menghentikannya serta merta atau berdepan dengan tindakan tegas.

“JIM bersama agensi penguatkuasaan lain seperti JTK dan Pasukan Petugas MAPO KDN akan sentiasa menjalankan operasi serta pemeriksaan ke atas syarikat-syarikat yang terbabit.

“Tindakan ini diambil bagi memastikan individu berkaitan yang mengambil kesempatan ke atas majikan dan warga asing dikenakan tindakan tegas dan sewajarnya di sisi undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 11:09 PM