Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEBUAH premis digelar ‘rumah merah’ di Jalan Hang Kasturi, di sini, kerana beroperasi sebagai pusat pelacuran dikesan menawarkan khidmat seks warga asing dengan tawaran harga serendah RM30.

Bagaimanapun, kegiatan haram yang dilakukan sindiket pelacuran berkenaan berjaya dibongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia menyerbu premis terbabit pada jam 3.30 petang, hari ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya berjaya menahan 32 warga asing termasuk 15 wanita warga India dan Indonesia dipercayai pelacur.

“JIM turut menahan dua lelaki warga tempatan dipercayai penjaga premis berkenaan.

“Ketika serbuan dilakukan, seorang anggota imigresen cedera ketika bergelut dengan penjaga premis yang cuba menghalang serbuan,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, pemeriksaan di premis berkenaan mendapati pintu, tangga dan bilik sudah diubahsuai bagi memudahkan mereka melarikan diri.

“Siasatan mendapati premis berkenaan sudah beberapa kali diserbu pihak berkuasa namun masih menjalankan perniagaan haram berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas warga asing berkenaan mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan antaranya tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,”katanya.

ANTARA pelacur yang ditahan dalam operasi JIM.
ANTARA pelacur yang ditahan dalam operasi JIM.

Menurutnya, semua individu yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/1963, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 6:34 PM