Nor Farhani Che Ad


BERSELINDUNG di sebalik jualan makanan ringan, kegiatan penjualan tambah nilai judi dalam talian terbongkar apabila premis yang terletak di Tikam Batu, di Sungai Petani, diserbu malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, susulan itu, pihaknya menahan seorang pelajar berusia 15 tahun yang berkerja sebagai penjaga kaunter kedai yang juga ditugaskan menjual tambah nilai judi dalam talian.

Katanya, pihaknya turut merampas tiga telefon bimbit bersama wang tunai berjumlah RM150 di premis terbabit.

“Serbuan yang dibuat 10 malam adalah berdasarkan aduan orang awam kepada polis.

“Kita dapati sindiket ini mula mensasarkan kawasan terpencil di daerah ini seperti kawasan Tikam Baru dan Kota Kuala Muda untuk menjalankan aktiviti jualan tambah nilai judi dalam talian,” katanya ketika ditemui.

Adzli berkata, sindiket itu juga dipercayai menggunakan pelajar sekolah sebagai modus operandi baru mereka bagi menyukarkan siasatan yang dilakukan.

“Ia berdasarkan tiga tangkapan pelajar sekolah daripada lapan yang ditahan dalam Operasi Dadu Khas yang dijalankan sejak Jumaat lalu sehingga hari ini (semalam) di Tikam Batu dan Kota Kuala Muda,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Menurutnya, tindakan pemotongan bekalan elektrik selama 30 hari juga akan dilakukan ke atas kedai terbabit mengikut Seksyen 21 A (1) ARJT 1953

Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak masing-masing supaya tidak terjebak dalam kegiatan judi dalam talian atau jenayah lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 9:02 AM
SERBUAN yang dilakukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda ke atas sebuah premis menjual tambah nilai judi dalam talian pada Operasi Dadu Khas semalam. FOTO Nor Farhani Che Ad
SERBUAN yang dilakukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda ke atas sebuah premis menjual tambah nilai judi dalam talian pada Operasi Dadu Khas semalam. FOTO Nor Farhani Che Ad