Hadzlihady Hassan


ISI kepala dulu, lepas tu jadi ‘saintis’ dan menghasilkan pil yaba yang dipelajari daripada internet.

Itu dilakukan seorang lelaki yang menghisap syabu kononnya dapat membuatkan dia bijak untuk menghasilkan pil yaba.

Lelaki berusia 29 tahun itu bagaimanapun diberkas polis pada 1 pagi, kelmarin di sebuah flat di Bagan Dalam, Butterworth.

Dalam serbuan itu, polis berjaya membongkar kegiatannya yang menjadikan rumah milik bapanya sebagai makmal mini untuk memproses pil yaba.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek menghasilkan sendiri pil yaba berkenaan dan menjualnya dengan harga RM15 sebiji.

“Siasatan awal mendapati suspek boleh menghasilkan sehingga 200 biji pil yaba sehari dan bergantung hidup dengan hasil jualan dadah berkenaan.

“Pil itu dipercayai diedarkan untuk pasaran tempatan dan suspek menghasilkannya sendiri menggunakan peralatan yang diubah suai,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Noorzainy berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM15,000, antaranya 50 gram (g) syabu, 5g ganja, 49g serbuk disyaki dadah, 45 biji pil ekstasi, 51 biji pil Yaba dan tiga biji pil erimin 5.

Katanya, selain itu polis turut merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk menghasilkan pil berkenaan yang ada antaranya dibuat sendiri.

“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Sabtu untuk siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 6:37 PM
NOORZAINY (tengah) menunjukkan dadah dan peralatan memproses dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
NOORZAINY (tengah) menunjukkan dadah dan peralatan memproses dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.