Asrol Awang


POLIS melumpuhkan sindiket pengedaran dadah apabila merampas sejumlah syabu dan pil yaba bernilai RM400,000 dalam serbuan di lokasi berasingan pada 28 Julai serta 29 Julai lalu.

Ini berikutan penahanan empat lelaki berusia 24 hingga 28 tahun iaitu seorang di Kuantan, Pahang dan tiga individu lagi di Terengganu.

Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata, dalam operasi pertama di Batu 10, Jalan Gambang, di sini, 28 Julai lalu, seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan pada 12.30 tengah hari.

Katanya, pemeriksaan menemukan dadah disyaki syabu seberat 3,097.30 gram dan 12,000 biji pil yaba.

"Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes dadah.

"Suspek direman bermula 29 Julai lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, polis menahan dua lelaki berusia 27 dan 28 tahun di tepi jalan Felda Kerteh 4, Dungun, Terengganu pada 2 petang 29 Julai lalu.

Katanya, dalam operasi itu, polis merampas sejumlah dadah disyaki syabu seberat 1,016.60 gram dan 8,000 pil yaba.

DATUK Abdul Jalil Hassan (tengah) ketika sidang media mengenai rampasan dadah, di Ibu Pejabat Polis Kotinjen Pahang. FOTO Farizul Hafiz Awang
DATUK Abdul Jalil Hassan (tengah) ketika sidang media mengenai rampasan dadah, di Ibu Pejabat Polis Kotinjen Pahang. FOTO Farizul Hafiz Awang

"Susulan tangkapan suspek itu, kita menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di perhentian bas Bandar Jertih, Besut dan merampas dadah jenis syabu seberat 1,006.63 gram.

"Saringan ujian air kencing mendapati seorang daripada mereka positif benzo, namun ketiga-tiga mereka tiada rekod jenayah.

"Kesemua mereka direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati sindiket itu bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Kuantan sejak tujuh bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 7:08 PM