MAZLAN (kanan) melihat timbunan iklan pinjaman wang tanpa lesen yang dirampas.
MAZLAN (kanan) melihat timbunan iklan pinjaman wang tanpa lesen yang dirampas.
myMetro

Maran: Tawar pinjaman kewangan untuk orang Islam. Itu taktik digunakan pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ‘along’ melalui poster iklan ditampal dipercayai untuk menarik lebih ramai peminjam dalam kalangan masyarakat Islam.

Helah itu didedahkan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran dengan kerjasama Majlis Daerah Maran selepas menemui poster iklan menawarkan pinjaman khusus untuk orang Islam dalam ‘Op Vulture’ di sekitar daerah ini dan Pekan Awah yang bermula jam 10 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mazlan Hassan berkata, penemuan iklan menawarkan pinjaman khusus untuk orang Islam itu kali pertama dikesan di daerah ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya taktik iklan yang menawarkan pinjaman itu bagi mengaburi mata peminjam yang terdiri dalam kalangan umat Islam.

“Mereka mungkin ingin memperdaya peminjam daripada orang awam khususnya umat Islam dengan menawarkan pinjaman seperti itu.

“Orang awam yang dalam kesempitan mungkin akan beranggapan pinjaman yang mereka (along) tawarkan menerusi iklan itu tiada caj faedah atau bayaran tersembunyi,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu.

Mazlan berkata, pihaknya akan melakukan siasatan lanjut berhubung penemuan poster itu bagi mengesan sindiket yang menawarkan pinjaman berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 8:44 AM