MUSLIM (kiri) bertukar bendera dengan Naib Presiden GAMIS Syed Ahmad Abdus Salam Syed Nazmi (tengah), semalam. FOTO Nadim Bokhari
MUSLIM (kiri) bertukar bendera dengan Naib Presiden GAMIS Syed Ahmad Abdus Salam Syed Nazmi (tengah), semalam. FOTO Nadim Bokhari
Iqhram Ahmad

NEGARA haram Israel boleh ditewaskan dengan kerja keras rakyat Palestin serta kerjasama negara Islam seluruh dunia.

Pengarah Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Aminurraasyid Yatiban berkata, rakyat Palestin yang berkorban memperjuangkan tanah air mereka maut dalam keadaan yang bangga dan menghidupkan.

“Menurut kajian, negara Palestin akan mati pada tahun 2020 kerana sekatan ekonomi yang melampau, tapi rakyatnya akan terus berjuang dengan akidah mereka yang mantap,” katanya ketika berucap sempena program Memperingati Hari Nakbah (MEHAN): Syarahan Khas & Pelancaran Ikatan Mahasiswa Antarabangsa Demi Al-Aqsa di Hotel Putra, semalam.

Menurutnya, rakyat Palestin percaya bahawa satu hari nanti negara mereka akan bebas dan kekejaman Israel akan turut dibalas.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran berkata, program itu adalah contoh sokongan yang diperlukan Palestin bagi melawan kekejaman Zionis Israel.

“Sejak 1967, lebih 100,000 rakyat Palestin ditahan dan dipenjara oleh Israel, manakala lebih 100,000 maut mempertahankan Palestin,” katanya.

Program anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) itu turut disertai Profesor Tamadun Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Kamaruzaman Yusoff dan Pengasas Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman.

Objektif program itu bagi membentuk kesatuan mahasiswa dalam menangani isu dan memberi bantuan kemanusiaan kepada umat Islam Palestin.

Presiden GAMIS, Muhammad Ikhwan Nasyriq Salahin pula berkata, pihaknya berhasrat untuk mengetuai misi bantuan manusia ke Palestin dan negara Islam lain yang memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 5:50 AM