Rokok seludup yang dirampas polis dalam Ops Asap Selasa lalu. FOTO Ihsan PDRM
Rokok seludup yang dirampas polis dalam Ops Asap Selasa lalu. FOTO Ihsan PDRM
Hasbi Sidek


POLIS merampas 1,734 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM275,192 dengan penahanan dua lelaki dipercayai pengedar rokok seludup di sekitar ibu negara, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dua lelaki berusia 38 dan 59 tahun itu ditahan dalam Ops Asap.

“Bertindak atas maklumat orang awam, Bahagian Perisikan dan Siasatan Khas JKDNKA Bukit Aman melancarkan operasi di kawasan Jinjang 14 Mei lalu ke atas satu sindiket pengedaran rokok seludup yang bergiat aktif di sekitar Kuala Lumpur.

“Dua lelaki warga tempatan berusia 38 dan 59 berjaya ditahan, yang mana salah seorang daripadanya memiliki rekod jenayah berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 1,734 karton rokok seludup pelbagai jenama dirampas bersama sebuah kereta serta wang tunai RM4,400.

“Anggaran nilai rampasan rokok selepas cukai ditaksirkan berjumlah RM275,192. Keseluruhan rampasan bernilai RM304,592.

“Kedua-dua tangkapan ditahan reman di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul selama tiga hari mulai semalam hingga esok mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 6:54 PM