Kerajaan negeri Melaka akan tindakan undang-undang ke atas pemilik kolam ternakan ikan keli yang menyebabkan pencemaran ammonia di Sungai Batang Melaka.
Kerajaan negeri Melaka akan tindakan undang-undang ke atas pemilik kolam ternakan ikan keli yang menyebabkan pencemaran ammonia di Sungai Batang Melaka.
Amir Mamat


DUA pemilik kolam ternakan ikan keli yang dipercayai menjadi punca pencemaran ammonia Sungai Batang Melaka, Alor Gajah, bakal dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata tindakan tegas berkenaan susulan kesulitan yang terpaksa ditanggung kira-kira 20,000 pengguna air di sekitar kawasan berkenaan berikutan keadaan air yang tercemar bahan kimia itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) tidak akan berkompromi dengan pihak berkenaan yang dilihat mengambil jalan mudah membuang sisa kimia itu ke sungai berhampiran.

“Natijahnya, kualiti air mentah di sungai berkenaan merosot dan menyulitkan aktiviti harian penduduk di situ.

“Memang kita akan ambil tindakan kepada mereka yang tidak ikut peraturan. Kita tidak bertolak ansur dalam soal pencemaran air kerana ia bukan saja digunakan oleh manusia tetapi juga haiwan,” katanya selepas merasmikan Jualan Peduli Rakyat anjuran Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) di Merlimau, hari ini.

Semalam, kira-kira 20,000 pengguna air di sekitar daerah ini mengalami masalah gangguan bekalan air akibat pencemaran ammonia yang berlaku di loji rawatan air milik Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) di Gadek, Alor Gajah sejak minggu lalu.

Pencemaran itu dikatakan berpunca daripada tindakan pemilik kolam ternakan ikan keli di Hutan Percha yang melepaskan sisa buangan secara tidak tersusun ke Sungai Batang Melaka.

Mengulas lanjut, Adly berkata sejak tahun lalu kerajaan negeri sudah mengeluarkan arahan kepada agensi berkaitan untuk memantau semua syarikat industri ternakan, termasuk ternakan ikan air tawar bagi mengelakkan berlaku pencemaran air.

Katanya, kolam ternakan air tawar yang menternak ikan keli diberi perhatian khusus ekoran menyedari risiko pencemaran daripada sisa buangan hidupan berkenaan lebih tinggi berbanding ikan air tawar jenis lain.

“Kerajaan negeri memberi jaminan kepada semua pemilik akaun SAMB untuk menyelesaikan isu pencemaran itu dalam kadar segera dan loji rawatan air di Gadek juga sudah beroperasi seperti biasa hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 3:57 PM