Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Sisa kolam ternakan ikan keli yang tidak mempunyai Kebenaran Merancang (KM) dan beroperasi tanpa kebenaran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dipercayai menjadi punca pencemaran Sungai Selangor sejak malam tadi.

Bau seakan bangkai ikan yang mengalir ke sungai menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas serta merta.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli, dan Pengerusi Bersama Hal Ehwal Selain Hal Islam (HESI), Hee Loy Sian berkata, siasatan mendapati pencemaran itu ekoran tindakan pengusaha kolam ternakan melepaskan air kolam ke dalam Sungai Selangor.

"Kita mendapati salah sebuah kolam daripada 57 kolam di kawasan itu melepaskan air tercemar kira-kira 100 meter dari Sungai Selangor.

"Mereka (pengusaha kolam ikan) tiada kelulusan untuk bangunan KM dan tiada lesen dari MDHS," katanya pada sidang media di Stesen Sementara Pemantauan Kualiti Statik C14/C22 Sungai Selangor, di sini, tadi.

Beliau turut melakukan lawatan bersama beberapa agensi berkaitan mendapati kawasan seluas 40 hektar itu menempatkan 57 kolam ikan keli.

"Pencemaran ini adalah kali kedua berlaku membabitkan kolam ternakan ikan keli. Ia berlaku di tempat (kolam) berlainan dengan kes kali pertama berlaku Februari lalu," katanya.

Hee berkata, pihaknya sudah menghantar enam sampel air kolam ternakan berkenaan ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

Sehubungan itu, Hee menegaskan, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 79 akta yang baharu diluluskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dengan memperuntukkan hukuman minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta, manakala penjara tidak kurang tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kami berharap polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan dilupuskan ke dalam sungai," katanya.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan empat LRA terpaksa dihenti tugas malam tadi berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 7:41 PM
 Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli, dan Pengerusi Bersama Hal Ehwal Selain Hal Islam (HESI), Hee Loy Sian cuba bau sampel air di kolam ternakan ikan keli dipercayai punca pencemaran pada sidang media mengenai pencemaran bau yang dikesan di Sungai Selangor menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang SSP1, SSP2 & SSP3 terpaksa dihenti tugas. FOTO ASWADI ALIAS
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli, dan Pengerusi Bersama Hal Ehwal Selain Hal Islam (HESI), Hee Loy Sian cuba bau sampel air di kolam ternakan ikan keli dipercayai punca pencemaran pada sidang media mengenai pencemaran bau yang dikesan di Sungai Selangor menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang SSP1, SSP2 & SSP3 terpaksa dihenti tugas. FOTO ASWADI ALIAS