SEORANG daripada wanita warga Thailand yang diselamatkan dalam Operasi Bersepadu Menyelamatkan Pengemis dan Orang Papa semalam selepas menjalankan perniagaan tanpa lesen di hadapan bank. FOTO Nor Farhani Che ad
SEORANG daripada wanita warga Thailand yang diselamatkan dalam Operasi Bersepadu Menyelamatkan Pengemis dan Orang Papa semalam selepas menjalankan perniagaan tanpa lesen di hadapan bank. FOTO Nor Farhani Che ad
Nor Farhani Che Ad


MENCARI wang bagi membiayai pengajian anak di kampung adalah alasan yang diberikan tiga wanita warga Thailand yang diselamatkan dalam Operasi Bersepadu Menyelamatkan Pengemis dan Orang Papa yang dijalankan di sekitar Sungai Petani, semalam.

Wanita berusia 49 hingga 58 itu mendakwa, mereka dengan rela hati datang ke Malaysia untuk menjual makanan ringan tanpa menggunakan orang tengah.

Seorang daripada mereka berkata, dengan bermodalkan kira-kira RM150 setiap seorang, mereka akan mendapatkan barangan di Padang Besar, Perlis sebelum dibawa ke bandar itu untuk diniagakan.

“Kami datang lima orang, dua lagi sudah pulang ke kampung selepas ditahan dalam operasi minggu lepas, kami yang tinggal ini nak habiskan barang saja sebelum balik.

“Sebelum ini kami pernah buat pelbagai pekerjaan seperti mengambil upah membuat sawah, kerja di kedai makan dan macam-macam lagi di sini.

“Namun, kami nampak kerja ini sahaja yang mudah dan lumayan kerana sehari kami mampu memperoleh sekurang-kurang RM50 daripada hasil jualan selain ada yang memberi sedekah kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Penguatkuasaan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Azirawati Abdullah berkata, wanita terbabit antara 11 individu termasuk lima warga tempatan yang diselamatkan dalam operasi yang dijalankan dengan kutipan wang keseluruhan berjumlah RM458.95.

Katanya, mereka dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan menjalankan perniagaan tanpa lesen serta mengemis.

“Kebanyakan mereka menjalankan kegiatan itu berulang biarpun amaran sudah diberikan sebelum ini.

“Mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, operasi selama dua jam bermula 6 petang itu turut disertai oleh agensi lain seperti polis, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Pejabat Agama Daerah Kuala Muda, Jabatan Pendaftaran dan Jabatan Psikiatrik Hospital Sultan Abdul Halim.

Katanya, operasi membabitkan 27 lokasi turut memfokuskan kawasan di Pasar Malam Taman Bandar Baru, Stesen Bas dan Teksi di Jalan Petri, Pasar Malam Sri Tanjung dan di hadapan beberapa bank sekitar bandar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 9:22 AM