CHIN (dalam bulatan merah) dirakam dari helikopter penyelamat. (Gambar kecil) Chin Wui Kin. FOTO Ihsan FB Seven Summit Treks
CHIN (dalam bulatan merah) dirakam dari helikopter penyelamat. (Gambar kecil) Chin Wui Kin. FOTO Ihsan FB Seven Summit Treks
Suraya Roslan


PENDAKI Malaysia, Chin Wui Kin, yang terkandas antara puncak Gunung Annapurna disahkan masih selamat dan sempat melambai helikopter penyelamat.

Setiausaha Ketiga Kedutaan Malaysia di Nepal, Albony Basir berkata, pakar perubatan sebuah hospital di Singapura berusia 48 tahun itu dipercayai terpisah dengan kumpulan pendaki Seven Summit Treks dari beberapa negara membabitkan 31 pendaki lain.

“Ketika ini, helikopter tidak dapat mendarat berikutan bentuk geografi gunung berkenaan dan pasukan penyelamat kini giat meneruskan operasi menyelamat mangsa.

“Mangsa dipercayai berada di tengah-tengah antara puncak dan Kem 4 dengan ketinggian dianggarkan 8,100 meter sejak 23 April lalu selepas gagal kembali ke kem berdekatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, pihak kedutaan mengetahui perkara itu melalui laporan media dan bergegas mendapatkan pengesahan pihak penyelamat.

“Kedatangan doktor berkenaan ke negara ini tidak dimaklumkan kepada kedutaan dan kini kami sedang bekerjasama rapat bersama penyelamat untuk mengetahui perkembangan mangsa.

“Kita juga tidak dapat memastikan keadaan mangsa sama ada cedera atau tidak, namun pihak penyelamat memaklumkan dia melambai helikopter yang sedang mencari mangsa,” katanya.

Sementara itu, Wui dalam hantaran di laman sosial Facebook (FB) pada 21 April lalu memaklumkan sudah tiba di Kem 3 pada jam 4 petang selepas mendaki lebih sembilan jam.

“Ia menakutkan di tebing ais, saya gembira berjaya menawannya (Kem 3), salji sangat tebal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 4:00 PM