Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SEPERTI dalam filem Ali Baba Bujang Lapok lakonan Allahyarham M Zain yang menjual hamba dengan aksi dan gelagat mencuit hati ‘Lelong...Lelong.”

Kata-kata keramat itu kembali diterjemahkan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Kamarul Anuar Mazly yang melelong 65 kenderaan dalam Program Lelongan Awam JPJ Negeri Sembilan Siri 1/2019 di Dewan Melati di Seremban, hari ini.

Kamarul Anuar yang bertindak sebagai jurulelong dan dibantu rakan setugas, Norazman Annuar beraksi penuh semangat apabila kata keramatnya berjaya menarik banyak bidaan dalam kalangan pembeli.

Hasilnya, 172 buku lelong dan 60 kenderaan habis terjual, sekali gus JPJ Negeri Sembilan berjaya meraih kutipan RM389,963.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat JPJ, Khairul Anwar Bachok berkata, 65 kenderaan itu membabitkan 30 motosikal, 20 kereta, sembilan kenderaan pelbagai guna (MPV), masing-masing sebuah jip dan treler serta dua lori.

Katanya, sambutan diterima amat luar biasa dengan kehadiran orang awam seawal 8 pagi sehingga lelongan berakhir 3 petang.

“Hasilnya, 60 kenderaan dibeli pembida manakala lima lagi akan dilelong untuk sesi akan datang.

“Semua kenderaan tanpa pemilik sah dilelong selepas melalui proses mahkamah dan membabitkan kesalahan kenderaan tidak berdaftar bersama JPJ, tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada lesen memandu dan memandu di bawah umur,” katanya pada sidang media selepas meninjau lelongan itu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPJ negeri, Azrin Borhan dan Timbalannya, Mohd Azlan Shah Othman.

Khairul Anwar berkata, lelongan motosikal dibuka pada kadar minimum RM150 dan mencapai bidaan tertinggi berjumlah RM15,000 iaitu Yamaha YZF-R6.

Beliau berkata, pelbagai jenis kereta dilelong antaranya Toyota Vios, Mercedes, Honda Odyssey, Honda Wish dan sebagainya.

“Daripada 65 kenderaan yang dilelong, 15 adalah kereta klon. Sebuah kereta Toyota Wish mencapai bidaan tertinggi berjumlah RM29,100.

“Sejak 2013 hingga tahun lalu, JPJ Negeri Sembilan melakukan 11 kali lelongan membabitkan 599 kenderaan dan kutipan RM737, 780.

“Berdasarkan rekod, JPJ negeri ini menyita 87 kereta klon bermula 2015 hingga tahun lalu. Semua kenderaan itu melalui proses siasatan dan pendakwaan selain ia dijual hari ini,” katanya.

Berita berkaitan

'Lelongan kereta sita bermula'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 3:47 PM
KHAIRUL Anwar (dua dari kiri) beramah mesra dengan Abdullah Husin (dua dari kanan) yang berjaya membida motosikal berkuasa tinggi Yamaha YZF-R6 dengan harga RM15,000 pada hari lelongan awam JPJ Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. FOTO Adzlan Sidek.
KHAIRUL Anwar (dua dari kiri) beramah mesra dengan Abdullah Husin (dua dari kanan) yang berjaya membida motosikal berkuasa tinggi Yamaha YZF-R6 dengan harga RM15,000 pada hari lelongan awam JPJ Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. FOTO Adzlan Sidek.