KEADAAN kereta mangsa yang terbalik. FOTO ihsan bomba
KEADAAN kereta mangsa yang terbalik. FOTO ihsan bomba
Nurul Amanina Suhaini


BAYI perempuan berusia 10 bulan maut selepas Perodua Kenari dinaikinya dilanggar dari belakang menyebabkan kenderaan itu berpusing sebelum terbalik di tengah jalan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, awal pagi tadi.

Mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di kepala manakala bapanya berusia 29 tahun yang memandu cedera parah di badan, kepala dan kaki.

Ibu mangsa berusia 22 tahun turut cedera parah di badan, kaki dan muka manakala anak perempuan sulung pasangan itu yang berumur dua tahun cedera ringan di kaki.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, Nur Auliya Inara Mohamad Nirzaudy Haiqal yang berada di tempat duduk penumpang hadapan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA), selepas kereta dinaiki keluarga itu dilanggar Mercedes E250 dari arah belakang di lorong sama.

Katanya, siasatan mendapati dalam kejadian jam 1 pagi itu, Perodua Kenari dinaiki empat beranak itu dipercayai dari Stulang Laut menghala ke rumah di Taman Tampoi Utama.

“Apabila tiba di Jalan Lingkaran Dalam (menghala ke Skudai), Mercedes E250 dari arah belakang di lorong sama melanggar Perodua Kenari itu.

“Akibat pelanggaran, pemandu Perodua Kenari hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan terlanggar batu pembahagi jalan menyebabkan kereta berpusing sejauh kira-kira 30 meter sebelum terbalik di antara lorong kiri dan kanan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahurinain berkata, bayi itu meninggal dunia di Wad Kecemasan HSA.

“Bedah siasat akan dijalankan ke atas bayi perempuan itu kira-kira jam 9.30 pagi ini di Jabatan Forensik, HSA.

“Bapa dan ibu mangsa masih dirawat di Zon Merah HSA.

“Kakak mangsa yang juga penumpang belakang hanya luka ringan di kaki kiri,” katanya.

Beliau berkata, ujian air kencing ke atas pemandu lelaki Mercedes E250 berusia 43 tahun itu menunjukkan keputusan negatif dari semua jenis dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 12:14 PM