Shamsul Munir Safini


PELBAGAI jenis kosmetik tiruan dipercayai boleh mengundang penyakit barah kepada pengguna dirampas Kementerian Perdagangan Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang dalam tiga operasi berasingan di Jalan Baru, Bandar Perda dan Bukit Mertajam, hari ini.

Ketua Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Chin Ching Chung berkata, semua kosmetik tiruan itu menggunakan bahan diragui dan secara langsung memberi kesan kepada penggunanya.

Beliau berkata, ada di antara barangan tiruan itu mengandungi sulfur dan merkuri yang memang boleh mengancam nyawa pengguna.

“Dalam operasi bermula 2 hingga 5 petang itu, kami merampas 3,000 unit kosmetik pelbagai jenis dan jenama antarabangsa palsu dari tiga premis milik sebuah syarikat.

“Semua kosmetik dirampas dianggarkan bernilai lebih RM500,000 membabitkan gincu bibir, pewangi, celak mata dan makanan kesihatan menggunakan jenama antarabangsa tiruan.

“Tujuh wakil pemilik jenama antarabangsa yang diciplak itu turut hadir pada operasi hari ini bagi mengenalpasti ketulenan barang kosmetik di situ,” katanya pada sidang media di Stor KPDNHEP di Bukit Minyak, Bukit Mertajam.

CHIN (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barangan kosmetik palsu bernilai RM500,000 yang dirampas pada sidang media di Kompleks Penyimpanan Ekshibit  KPDNHEP negeri di Bukit Minyak, Bukit Mertajam, hari ini. FOTO SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL.
CHIN (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barangan kosmetik palsu bernilai RM500,000 yang dirampas pada sidang media di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDNHEP negeri di Bukit Minyak, Bukit Mertajam, hari ini. FOTO SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL.

Menurutnya, pemilik premis ditahan KPDNHEP bagi diambil keterangan dan dia adalah pemborong kosmetik terbesar di Bukit Mertajam serta menjual barangan palsu itu dengan harga kurang 10 peratus daripada harga pasaran.

“Sebagai contoh, harga bagi satu unit pewangi tiruan jenama dari Amerika Syarikat dijual antara RM12 hingga RM17 walaupun harga asalnya mencecah RM200 hingga RM300.

“Dia menjual barangan kosmetik itu secara borong dan runcit malah menjualnya secara dalam talian dan mendapat permintaan daripada pelbagai pihak.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 7:49 PM