SUSPEK. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK. FOTO Ihsan PDRM
Hamzah Osman


WANITA tempatan ditahan bersama dadah heroin dan syabu di sebuah chalet di Jalan Pantai Chenang di Langkawi, Selasa lalu.

Ketika kejadian ditahan 3 petang, ‘tokan’ berusia 22 tahun itu berehat di dalam bilik dipercayai menunggu pelanggan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek ditangkap anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi hasil maklumat awam.

“Hasil pemeriksaan mendapati, suspek memiliki satu paket plastik lut sinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 50.12 gram (g).

“Turut ditemui, satu paket plastik lut sinar mengandungi serbuk ketulan kristal disyaki syabu dengan anggaran berat 0.12 g,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, ketika serbuan, hanya suspek berada di dalam bilik di chalet berkenaan.

“Suspek adalah penganggur dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis morfin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 8:37 AM