GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass


DUA lelaki dipercayai along yang giat menjalankan perkhidmatan pinjaman wang haram di sekitar Johor Bahru ditahan polis di Taman Tampoi Indah semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, bertindak atas maklumat orang ramai sepasukan polis menjalankan siasatan di kawasan berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Titiwangsa 1, Taman Tampoi Indah.

Menurutnya, pasukan itu menahan Toyota Harrier hitam untuk pemeriksaan.

Menurutnya, dua lelaki berusia 36 dan 52 tahun berada di dalam kereta berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan, polis menemui beg sandang mengandungi telefon bimbit Samsung, telefon bimbit Oppo serta sekeping sim kad Digi, kad mesin pengeluar wang automatik

(ATM) serta beberapa keping salinan dokumen disyaki milik peminjam.

“Pemeriksaan fizikal suspek menemui telefon bimbit Vipro selain 355 keping salinan dokumen disyaki peminjam ditemui dalam kereta.

“Polis turut menemui empat utas rantai besi dan tiga kunci mangga serta anak kunci,” katanya.

Menurutnya, susulan tangkapan itu, polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Taman Bukit Indah, pada hari sama.

“Hasil serbuan, polis menemui 47 naskhah buku baucer kosong,

mesin pencetak jenama Canon hitam, nota tulisan tangan tertera peminjam ingkar, 39 keping notis surat kepada pelanggan, 23 keping salinan dokumen disyaki milik peminjam dan telefon bimbit Huawei.

“Polis juga menemui kotak mengandungi cincin, rantai tangan, rantai leher serta loket.

“Turut ditemui, 29 keping wang RM100 dan lapan keping wang bernilai RM50,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Wang (APPW) 1951.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 10:34 PM