GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


KEPRIHATINAN kakak berusia 24 tahun yang mengesan perubahan adiknya membongkar rahsia remaja berusia 13 tahun itu melakukan hubungan seks dengan teman lelaki sejak bulan lalu.

Bagaimanapun, rahsia berkenaan hanya terbongkar selepas didesak berulang kali sebelum anak bongsu itu mengaku melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya berusia 17 tahun di ruang tamu rumah mangsa.

Berikutan pengakuan itu, kakak dan mangsa membuat laporan polis sebelum lelaki yang tidak lagi bersekolah itu ditahan semalam.

Berdasarkan laporan polis dibuat kakak kepada pelajar tingkatan satu itu, dia mendesak adiknya mengaku sama ada pernah melakukan hubungan seks dengan lelaki itu selepas mengesyakinya.

Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila suspek masuk ke dalam rumah remaja perempuan dengan cara memanjat pagar rumah pada waktu malam, selepas jam 12 tengah malam.

Remaja perempuan itu sendiri dikatakan membuka pintu rumah dan membenarkan suspek masuk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati remaja perempuan itu mengenali suspek sejak pertengahan Januari lalu.

“Remaja perempuan itu anak bongsu daripada tiga beradik dan ibu bapanya sudah bercerai. Dia tinggal di rumah bersama kakak dan bapanya.

“Dia sendiri membuka pintu rumah dan mengajak suspek masuk ke dalam.

“Kejadian berlaku di ruang tamu dan tiada siapa menyedarinya kerana kejadian berlaku tengah malam atau pagi ketika penghuni lain tidur,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai tukang pendawaian Internet ditahan jam 7 malam semalam di rumahnya di Taman Nusa Bestari dekat sini.

“Suspek mempunyai rekod lampau dalam kes curi kenderaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 6:07 PM