Baharom Bakar


JABATAN Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) tidak mengesan sebarang kes serangan strok haba berikutan cuaca panas yang melanda negeri ini.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) negeri, Dr Saifur Rahman Muhammad, berkata pihaknya sudah membuat pemantauan di semua hospital serta klinik kesihatan dan tiada kes serangan strok haba direkodkan di negeri ini.

“Bagi menghadapi cuaca panas ini, kami menasihatkan orang ramai supaya mengehadkan aktiviti luar terutama bagi golongan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai penyakit.

“Mereka perlu minum air mencukupi untuk memastikan tidak mengalami kekurangan air di dalam badan,” katanya ketika mewakili Pengarah JKNT, Dr Mohd Jusoh merasmikan Hari Bertemu Pelanggan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pakar Perubatan Transfusi Darah HSNZ, Dr Mohd Muhaimin Kambali.

Dr Saifur Rahman berkata, walaupun berlaku perubahan cuaca sejak beberapa hari lalu di negeri ini terutama hujan pada sebelah petang dan malam, keadaan panas luar biasa menyebabkan orang ramai dinasihatkan kurang melakukan aktiviti pada tengah hari.

Ketika mengulas mengenai bekalan darah sempena Ramadan, Dr Saifur Rahman berkata, Unit Transfusi Darah HSNZ akan mengadakan kempen derma darah selepas solat sunat terawih sepanjang Ramadan nanti.

Katanya, Unit Transfusi Darah itu sudah menerima permohonan daripada jawatankuasa masjid dan surau untuk menganjurkan kempen berkenaan.

“Kebiasaannya penggunaan darah meningkat pada Ramadan terutama menjelang hari raya.

“Walaupun bekalan darah mencukupi, kempen derma darah tetap diadakan pada Ramadan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 8:01 PM
DR Saifur Rahman (kanan) melihat buku catatan derma darah semasa melawat penderma darah di Hari Bersama Pelanggan HSNZ di Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Imran Makhzan.
DR Saifur Rahman (kanan) melihat buku catatan derma darah semasa melawat penderma darah di Hari Bersama Pelanggan HSNZ di Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Imran Makhzan.