Senapang jenis bakakuk buatan sendiri yang dirampas polis. FOTO Recqueal Raimi
Senapang jenis bakakuk buatan sendiri yang dirampas polis. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi


BERANG ditegur kerana membuat bising, anak lelaki tergamak mengugut menembak bapanya dengan senapang di Kampung Tempasuk, Kota Belud Ahad lalu.

Dalam kejadian 9.30 pagi, lelaki berusia 32 tahun itu mengacukan senapang buatan sendiri jenis bakakuk di kepala bapanya dua kali.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, suspek yang positif dadah jenis syabu berjaya ditahan pada hari sama selepas polis menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek membuat bising dengan tiba-tiba menjerit di ruang tamu rumah mereka sebelum ditegur bapanya supaya menghentikan jeritan itu.

“Suspek tiba-tiba berang dan mengancam sebelum mengambil selaras senapang bakakuk lalu mengacukan ke kepala mangsa sambil mengugut mahu menembaknya.

“Mangsa yang cemas melihat anaknya tidak tentu arah, segera melarikan diri dan menuju ke balai polis membuat aduan,” katanya hari ini.

Mohd Zaidi berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dan di bawah pengaruh dadah jenis syabu.

“Polis turut merampas senjata bakakuk terbabit dan sebutir peluru jenis ‘Ball Bearing’ (BB) yang juga buatan sendiri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1970,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 10:16 PM