RUMAH disewa pasangan itu di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, yang dijadikan sebagai pusat jagaan kucing dan haiwan sejak Januari lalu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
RUMAH disewa pasangan itu di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, yang dijadikan sebagai pusat jagaan kucing dan haiwan sejak Januari lalu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin

“KAMI sekeluarga terpaksa bertekak dengan pasangan terbabit kerana keadaan sekitar rumah berbau busuk dengan bulu dan najis haiwan yang tidak dicuci,” kata jiran rumah yang menemukan lapan bangkai kucing di Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur, 25 Mac lalu.

Menurut Nagajothi Subramaniam, 50, rumah itu disewa lelaki dan wanita pada Disember tahun lalu dengan menjadikan kediaman itu sebagai pusat jagaan kucing serta anjing sejak Januari lalu.

Katanya, pasangan terbabit memaklumkan sudah mendapat izin daripada pemilik rumah untuk menjadikannya sebagai pusat jagaan haiwan.

“Beberapa hari sebelum perayaan Tahun Baru Cina, rumah itu dikunjungi ramai orang yang menghantar kucing serta anjing mereka hingga kediaman itu dipenuhi kira-kira 30 anjing yang diletakkan di tingkat bawah, manakala kucing pula diletakkan di tingkat atas.

“Jumlah anjing yang begitu banyak menyebabkan keadaan bising dengan bunyi salakan. Selain itu, sekitar rumah juga berbau busuk kerana najis tidak dicuci serta bulu haiwan berkenaan bersepah.

“Keadaan kotor itu menyebabkan saya dan anak-anak pernah bertekak dengan pasangan terbabit, namun tidak diendahkan mereka,” katanya ketika ditemui, di rumahnya di Bandar Mahkota Cheras, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn terpaksa memotong mangga pagar dan pintu utama rumah berkenaan yang didapati tiada penghuni.

Pemeriksaan di dalam rumah berkenaan menemui lapan bangkai kucing dan tiga lagi kucing masih hidup, namun dalam keadaan lemah sebelum diberi makan dan minum oleh anggota bertugas.

Nagajothi berkata, seminggu selepas perayaan Tahun Baru Cina, jumlah haiwan di rumah terbabit berkurangan selepas diambil pemilik masing-masing.

“Pada hujung Februari lalu, saya menyedari rumah itu kosong dan berkunci. Difahamkan pasangan terbabit sudah keluar dari rumah terbabit kononnya untuk mencari pekerjaan lain di luar negara.

“Selepas rumah itu kosong, saya ada mendengar bunyi kucing di dalam rumah terbabit, namun tidak mengesyaki apa-apa yang buruk. Bagaimanapun, anak lelaki saya berusia 27 tahun memaklumkan terhidu bau busuk dari rumah berkenaan sebelum menghubungi pihak polis pada 25 Mac lalu untuk tindakan lanjut,” katanya yang juga suri rumah.

Katanya, dia tidak menyangka pasangan terbabit tergamak meninggalkan kucing itu tanpa sebarang penjaga selain tidak diberikan makanan dan minuman hingga menyebabkan ia mati kelaparan.

“Sekiranya benar mereka mahu ke luar negara atas urusan kerja, pasangan itu sepatutnya menyerahkan semula kucing terbabit kepada pemilik atau memastikan ada individu yang menjaganya sepanjang tempoh tiada di rumah,” katanya.

Berita berkaitan

Ingatkan mayat, rupanya bangkai kucing

'Kalau tak mampu jaga, bagi orang...'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 12:20 PM