GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Kandau Sidi


POPULASI buaya yang semakin banyak di Sungai Niah berpotensi untuk menjadi tarikan pelancongan di utara Sarawak, selain aktiviti memancing udang dan menyelam skuba.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Rosey Yunus berkata, pengunjung berpeluang melihat buaya di habitatnya jika berperahu di Sungai Niah sehingga ke kawasan kuala sungai itu di Lampung Lajong.

Beliau yang juga Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga berkata, sehubungan itu penduduk yang menetap di sepanjang sungai itu boleh mengambil peluang dengan menjadikan buaya sebagai produk pelancongan untuk Bekenu.

“Sekarang Sungai Niah dan Sungai Sibuti popular untuk aktiviti memancing udang, manakala di laut pula terkenal dengan keunikan terumbu karangnya.

“Sepanjang tebing sungai itu juga banyak pokok bakau yang dijadikan produk melihat klip klip waktu malam dan kehadiran buaya di sungai juga sepatutnya boleh dijadikan sebagai produk pelancongan tambahan untuk kawasan utara negeri ini,” katanya kepada pemberita di Dewan Masyarakat Kampung Lajong di Miri, hari ini.

Beliau berkata, Bekenu dan kawasan utara Sarawak berpotensi menjadi kawasan pelancongan kerana memiliki banyak tarikan berasaskan alam semula jadi.

Katanya, penduduk kampung perlu terbabit dengan program pelancongan dengan mewujudkan inap desa di kawasan mereka.

“Kerajaan Sarawak sememangnya menggalakkan penduduk kampung aktif dalam pembabitan sektor pelancongan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 11:17 AM