ANGGOTA pasukan SAR menjalankan operasi mencari Masri yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki terbalik ketika memancing udang di Pengkalan Kota, Kampung Durian Condong, Muar, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA pasukan SAR menjalankan operasi mencari Masri yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki terbalik ketika memancing udang di Pengkalan Kota, Kampung Durian Condong, Muar, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Mohd Sabran Md Sani


“HANYA dua rakannya berjaya berenang ke tepi, manakala Masri yang berada di belakang hilang dari pandangan,” kata Muhazar Abu Samah, 47, bapa saudara kepada Masri Ahmad, 38, yang dikhuatiri lemas di Pengkalan Kota, Kampung Durian Condong, Muar, hari ini.

Dalam kejadian 10 pagi, keinginan tiga sahabat memancing udang galah berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas bot gentian dinaiki mereka terbalik.

Kejadian itu mengakibatkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Muhazar berkata, dia yang tinggal di Melaka mengetahui kejadian itu melalui ahli keluarganya yang menetap di kawasan terbabit pada 12 tengah hari.

“Saya difahamkan Masri bersama dua rakannya pergi ke kawasan terbabit yang juga lubuk udang galah pada malam tadi.

“Dia yang bertolak dari Kuala Lumpur bermalam di rumah ibu saudaranya sebelum memancing udang di kawasan itu pada 9 pagi,” katanya ketika dihubungi selepas melihat SAR pada petang ini.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila bot gentian dinaiki tiga sahabat itu hilang imbangan sebelum terbalik.

Katanya, dalam keadaan cemas, mereka berenang ke tepi, namun ketika dua rakannya tiba di tepi, kelibat Masri tidak kelihatan dan dipercayai lemas.

“Seorang ahli keluarga kami menyelam bagi mencarinya di kawasan kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian, namun tidak membuahkan hasil.

“Mangsa bekerja sebagai juruteknik di Lapangan Terbang Subang baru saja menghadiri majlis perkahwinan sepupunya di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, semalam,” katanya.

Beliau berkata, pada majlis perkahwinan sepupunya itu dia dilihat kurang sihat kerana demam.

Katanya, mangsa dikatakan tidak mahu pergi memancing, tetapi terpaksa mengikut rakannya mencari udang galah di lubuk sungai itu.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, seorang pegawai bersama lima anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 10.24 pagi.

“Maklumat awal diterima menyatakan terdapat sebuah bot gentian terbalik di kawasan sungai.

“Dua orang berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi hilang dan dikhuatiri lemas,” katanya.

Katanya, operasi awal dilakukan pasukan BBP Bukit Gambir menggunakan kaedah pencarian di kawasan permukaan air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 7:57 PM