Siraj Mohd Zaini


BEKAS pengurus akaun sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang hari ini terhadap 28 pertuduhan pecah amanah membabitkan kerugian RM4.3 juta dari Ogos 2018 hingga Februari lalu.

Tertuduh, Hoh Kian Kuen, 48, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut semua pertuduhan, dia sebagai Pengurus Bahagian Akaun Syarikat HCH Construction Sdn Bhd melakukan pecah amanah terhadap harta syarikat yang diamanahkan terhadapnya pada 13 Ogos 2018 hingga 18 Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Bukit Tinggi, Klang.

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam Goh Kim Lian bagaimanapun membantah jaminan ditawarkan itu dengan alasan tertuduh yang berkahwin sudah berpisah dengan isterinya manakala anaknya yang berusia lapan tahun kini di bawah jagaan isteri.

Katanya, tertuduh juga mempunyai seorang ibu berusia 80 tahun yang akan menjaminnya manakala bapa serta adiknya sudah meninggal dunia selain seorang abang yang masih hidup.

Ahmad Zamzani kemudiannya berkata, mahkamah mahu memastikan status penjamin bukan berusia lanjut berikutan tanggungjawabnya adalah untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah setiap kali perbicaraan.

Beliau kemudian menetapkan jaminan RM700,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Ahmad Zamzani turut mengenakan syarat penjamin hendaklah warganegara Malaysia dan bukan berusia emas.

“Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan sehingga kes selesai,” katanya.

Ahmad Zamzani menetapkan 10 Mei ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 3:08 PM
HOH Kian Kuen didakwa di Mahkamah Sesyen Klang hari ini terhadap 28 pertuduhan pecah amanah. FOTO Faiz Anuar
HOH Kian Kuen didakwa di Mahkamah Sesyen Klang hari ini terhadap 28 pertuduhan pecah amanah. FOTO Faiz Anuar