LAPORAN portal Harian Metro mengenai lelaki parah kenderaan berlanggar dengan pesawat.
LAPORAN portal Harian Metro mengenai lelaki parah kenderaan berlanggar dengan pesawat.
Hasbi Sidek


JURUTEKNIK Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang parah dalam insiden di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, awal pagi semalam, masih kritikal.

MAHB dalam kenyataannya berkata, lelaki berkenaan sudah menjalani pembedahan di hospital swasta semalam, dan masih di bawah pengawasan rapi pegawai perubatan.

“Kakitangan yang terbabit dalam kemalangan itu dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan.

“Dia berada di bawah pengawasan rapi pasukan perubatan dan kami turut memastikannya mendapat rawatan terbaik di hospital berkenaan.

“Keutamaan kami sekarang adalah untuk memberikan sokongan kepada dia dan ahli keluarganya.

“Sama-sama kita mendoakan semoga dia cepat sembuh,” kata kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dalam perkembangan sama, MAHB akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi melengkapkan siasatan insiden itu.

“Kami bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan berhubung kejadian ini.

“Dalam menjaga semua pihak, terutama ahli keluarga yang sedang menghadapi situasi seperti sekarang, kami berharap tiada pihak yang membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian,” katanya.

Harian Metro melaporkan, seorang juruteknik MAHB parah pada kepala selepas kenderaan dinaiki dilanggar sebuah pesawat peribadi ketika mendarat di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, awal pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian 3.20 pagi itu, lelaki terbabit dipercayai berada dalam Perodua Kembara milik syarikat berkenaan untuk memantau kerja penyelenggaraan di landasan.

Kejadian itu menyebabkan bahagian bumbung Perodua Kembara terbabit tercabut selepas terkena sayap pesawat berkenaan.

Berita berkaitan

Pemandu parah pesawat langgar kereta

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 8:05 PM