TNB ambil tindakan segera pulihkan bekalan. FOTO Facebook TNB Careline.
TNB ambil tindakan segera pulihkan bekalan. FOTO Facebook TNB Careline.
Redzuan Muharam


TENAGA Nasional Berhad (TNB) memohon maaf kepada pengguna yang terkesan akibat gangguan bekalan elektrik di sekitar Seri Kembangan dan Equine Park berikutan kerosakan Pencawang Masuk Utama (PMU) Serdang Jaya pada 3.56 petang semalam.

Pengurus Besar Kanan, Distribution Network TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, pihaknya maklum mengenai kesukaran dialami pengguna dan sudah mengarahkan petugas membaiki kerosakan untuk memulihkan bekalan elektrik secepat yang mungkin.

“Usaha mengembalikan bekalan dimulakan segera dengan dua per tiga iaitu 67 peratus pengguna terbabit mendapat bekalan dalam tempoh dua jam menerusi bekalan grid, manakala bakinya diberi melalui set janakuasa bergerak,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Wan Nazmy, masalah itu dipulihkan secara berperingkat bermula 5 petang semalam sehingga 12 tengahari ini.

Dalam tempoh itu, lebih 85 peratus pengguna sudah mendapat bekalan masing-masing dan sebanyak 131 set janakuasa bergerak digunakan.

“Manakala, 39 set lagi dijangka tiba untuk menampung sumber dan bekalan elektrik pulih sepenuhnya, 2 petang tadi (hari ini).

“Bagi pengguna lain yang terbabit, kami nasihatkan mereka mendapatkan maklumat terkini di Facebook TNB Careline atau menghubungi talian 15454,” katanya.

Wan Nazmy berkata, PMU Serdang Jaya mengalami kerosakan pada peralatan panel pembahagian 33Kv dan kerja pembaikan dijangka siap esok.

“Kami berterima kasih kepada pengguna atas kesabaran sementara kerja pemulihan bekalan dan pembaikan PMU Serdang Raya ini berjalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 6:03 PM