KETUA Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (tengah) menunjukkan plastik berisi dadah jenis ganja yang dirampas dalam serbuan berasingan di Kampung Tanjung Aru Lama dan sekitar kawasan bandar raya Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
KETUA Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (tengah) menunjukkan plastik berisi dadah jenis ganja yang dirampas dalam serbuan berasingan di Kampung Tanjung Aru Lama dan sekitar kawasan bandar raya Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
Junaidi Ladjana


DUA lelaki berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas didapati memiliki dadah jenis ganja dalam serbuan berasingan di kawasan bandar raya ini dan Kampung Tanjung Aru Lama, di Kota Kinabalu.

Kedua-dua suspek itu ditahan dalam serbuan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, 11 malam, Ahad lalu dan 12.30 tengah malam, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kedua-dua lelaki tempatan masing-masing berusia 23 tahun ditahan kerana memiliki tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja.

“Jumlah rampasan barang kes hasil daripada kedua-dua tangkapan terbabit adalah seberat 169 gram yang bernilai RM6,760,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Dalam kes berlainan, beliau berkata, polis menahan lima lelaki termasuk dua warga asing kerana memiliki dadah jenis syabu dalam serbuan berasingan di kawasan Inanam dan Kampung Cenderakasih, pada 9 Mac dan 13 Mac lalu.

“Jumlah rampasan hasil penahanan lima suspek berusia 24 hingga 39 tahun, seberat 18.95 bernilai RM1,900.

“Kes disiasat mengikut 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 9:02 AM