Daun ketum antara yang dirampas dalam operasi membanteras dadah di Kota  Kinabalu. FOTO ihsan polis
Daun ketum antara yang dirampas dalam operasi membanteras dadah di Kota Kinabalu. FOTO ihsan polis
Junaidi Ladjana


POLIS menahan seramai 57 individu dan merampas syabu serta daun ketum dalam operasi pembanterasan aktiviti penyalahgunaan dadah di Kota Kinabalu selama seminggu berakhir semalam.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi yang bermula pada 12 Januari lalu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di beberapa kawasan di Likas dan Tanjung Aru.

“Seramai 57 suspek ditahan termasuk tiga wanita. Daripada jumlah yang ditahan itu, seramai 12 suspek ditahan atas kesalahan memiliki dadah manakala 45 suspek didapati positif ujian air kencing.

“Daripada jumlah yang ditahan itu juga, seramai 38 suspek adalah warga tempatan manakala 19 suspek warga asing berusia 18 hingga 53 tahun,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Habibi berkata, polis turut merampas syabu dianggarkan seberat 23.14 gram selain enam kilogram daun ketum.

“Rampasan daun ketum ini dilakukan di sebuah syarikat kurier di bandar raya ini pada 15 Januari lalu.

“Semua daun ketum yang disimpan di dalam kotak kiriman dari Alor Setar, Kedah itu tidak dituntut oleh sesiapa.

“Jumlah keseluruhan rampasan daun ketum sebanyak enam kilogram itu dianggarkan bernilai RM4,000 mengikut harga dadah semasa,” katanya.

Menurutnya, semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) akta sama dan Seksyen 15(1)(a) akta sama manakala rampasan daun ketum disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar bandar raya ini akan diperhebatkan dan ditingkatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman di kawasan bandar raya ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 12:18 PM