SERAMAI 40 lelaki yang dipercayai terbabit kumpulan kongsi gelap dengan berselindung di sebalik nama sebuah NGO ditahan polis dalam serbuan di sebuah restoran mewah di Seberang Jaya. FOTO Ihsan PDRM
SERAMAI 40 lelaki yang dipercayai terbabit kumpulan kongsi gelap dengan berselindung di sebalik nama sebuah NGO ditahan polis dalam serbuan di sebuah restoran mewah di Seberang Jaya. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Seramai 40 lelaki yang dipercayai terbabit kumpulan kongsi gelap dengan berselindung di sebalik nama sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) ditahan polis dalam serbuan di sebuah restoran mewah di Seberang Jaya, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan 9.30 malam itu, kumpulan terbabit didapati sedang mengadakan majlis pengenalan dan pendaftaran ahli baharu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, serbuan itu dibuat selepas polis mengesyaki satu kumpulan kongsi gelap yang cuba mengaburi pihak berkuasa dengan berselindung di sebalik sebuah NGO bagi menghidupkan kembali pengaruh di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Menurutnya, serbuan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah selepas memperoleh maklumat awam.

"Hasil serbuan membawa kepada penahanan 40 lelaki yang berusia antara 22 hingga 56 tahun yang berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

"Pemeriksaan mendapati lapan daripada lelaki yang ditahan mempunyai tatu bagi sebuah pertubuhan haram.

"Dalam serbuan itu polis turut merampas 56 telefon bimbit, dua cincin, seutas rantai serta sepasang subang yang mempunyai lambang sebuah pertubuhan haram," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Laman Facebook PDRM Pulau Pinang, di sini, tengah malam tadi.

Jelasnya, kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Seberang Perai Tengah dan kini direman untuk siasatan.

"PDRM berterima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat dan bekerjasama baik dalam bersama-sama membanteras jenayah," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang ) yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih daripada RM 5,000 atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 8:24 AM