Sekatan jalan raya Op Bersepadu Motosikal di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Azhar Ramli
Sekatan jalan raya Op Bersepadu Motosikal di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Azhar Ramli
Hasbi Sidek

Seorang remaja lelaki bukan sahaja menunjukkan aksi berbahaya dengan membuat ‘wheelie’, malah turut melarikan diri melawan arus selepas menyedari ada sekatan jalan raya Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, malam tadi.

Lelaki 19 tahun itu, melarikan diri menghala ke Jalan Pahang seterusnya ke Lebuhraya Damansara-Ulu Kelang (DUKE) sebelum berjaya ditahan selepas lebih 10 kilometer dikejar anggota polis.

Selepas disoal siasat, lelaki yang berasal dari Gombak itu mempunyai lesen memandu, namun melarikan diri kerana membuat aksi berbahaya dan terkejut sebaik mendapati sekatan jalan raya.

Dia yang menunggang motosikal milik abangnya mendakwa hanya bersiar-siar tetapi melarikan diri selepas ada sekatan jalan raya pihak berkuasa.

Dalam Ops Bersepadu Motosikal itu, Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur mengeluarkan sebanyak 633 saman membabitkan pelbagai kesalahan dalam operasi yang bermula jam 10 malam itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sekatan jalan raya dijalankan di Jalan Bangsar, Jalan Raja Laut, Jalan Kuching, Jalan Loke Yew dan Jalan Pahang dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Sebanyak 633 saman dikeluarkan dalam operasi bagi mencegah aktiviti mat rempit dan samseng jalanan di ibu kota.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada lesen memandu 150 saman, cukai jalan tamat tempoh (102 saman), tiada insurans kenderaan (54 saman), kesalahan berkaitan nombor pendaftaran (199 saman), tiada cermin sisi (84 saman) dan 92 saman membabitkan lain-lain kesalahan.

“Dalam operasi ini juga kami menahan lima lelaki yang empat daripada mereka didapati memandu secara berbahaya dan seorang lagi yang dikesan memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya ketika sidang media sejurus operasi tamat di Jalan Raja Laut, lewat malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 1:43 PM