Kuala Lumpur: “Kita (polis) memang menyedari kumpulan mat rempit menukar ‘trend’ dengan membanjiri ibu kota pada hari Ahad.

“Berikutan itu, kita melancarkan operasi penguatkuasaan secara berterusan hampir setiap minggu terutama bagi mengesan mereka yang menunggang secara berbahaya untuk dikenakan tindakan lanjut,” kata Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain.

Menurutnya, Polis Trafik Kuala Lumpur menerusi satu pasukan khas sentiasa menjalankan pemantauan terhadap kegiatan seumpama itu yang bukan hanya menyalahi peraturan ditetapkan malah mendatangkan risiko bahaya kepada pengguna jalan raya lain termasuk pejalan kaki.

“Hasil pemerhatian mendapati golongan rempit sebelum ini kebiasaannya lebih banyak berkumpul pada malam minggu (Sabtu) namun mereka dilihat bertukar pada hujung minggu dengan ada daripadanya sengaja melakukan pelbagai aksi berbahaya seperti ‘wheelie’, ‘wikang’ dan ‘superman’.

“Justeru, kita beranggapan bahawa operasi terutama membabitkan sekatan jalan raya perlu dilakukan bagi mengekang kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa,” katanya kepada Metro Ahad.

Mohd Nadzri berkata, pihaknya baru-baru ini sudah menahan lima mat rempit berusia antara 18 hingga 25 tahun yang dikatakan menunggang melawan arus dan secara berbahaya di sekitar bandar raya ini.

“Dalam operasi khas bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu, mereka melakukan kesalahan yang dianggap serius mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu atau menunggang secara melulu dan berbahaya hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Selain itu, kita mengeluarkan sejumlah 305 saman dan 33 motosikal turut dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, selain operasi rutin, pihaknya akan turut melancarkan operasi khas lebih besar yang dilakukan secara berkala dan berperingkat.

“Kita memandang serius perkara seumpama ini dan berharap gejala rempit dapat dibanteras sepenuhnya terutama di lokasi tumpuan ketika cuti umum dan hujung minggu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:10 AM