KEADAAN kereta Toyota Wish yang remuk selepas melanggar belakang lori membawa muatan kayu. (Gambar kecil) Lori membawa muatan kayu. FOTO Rosli Ilham
KEADAAN kereta Toyota Wish yang remuk selepas melanggar belakang lori membawa muatan kayu. (Gambar kecil) Lori membawa muatan kayu. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


“SAYA ingatkan bunyi macam letupan itu sebab tayar belakang pecah tapi sebaik turun dari lori alangkah terkejutnya bila nampak ada kereta remuk di belakang lori,” kata pemandu lori, Mohd Nazri Abdul Ghani, 47.

Lori dipandu Mohd Nazri dirempuh sebuah kereta di bahagian belakang di Kilometer 14, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Dungun, malam tadi.

Dalam kejadian 10.45 malam itu, Nurdenieal Mustaqim Dollah, 22, bersama seorang rakan, bernasib baik apabila hanya cedera di kepala dan tangan walaupun keseluruhan bahagian depan kereta Toyota Wish yang dipandunya remuk teruk.

Mohd Nazri berkata, ketika kejadian, dia bersama anaknya berusia 25 tahun dalam perjalanan menghantar kayu ke sebuah kilang tidak jauh dari situ.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan lori terhuyung-hayang sehingga sebahagian muatan kayu tercampak ke atas jalan.

“Nasib baik tiada kereta di depan, kalau tidak tentu kayu yang jatuh akan merosakkan kenderaan mereka,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, selepas menyedari lorinya dilanggar kereta terbabit, dia dan anaknya segera memberi bantuan dengan membawa keluar kedua-dua mangsa dalam kereta terbabit.

“Saya bersyukur kedua-dua mereka tidak parah sedangkan kenderaan yang dinaiki mereka remuk teruk,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, kedua-dua pemuda itu yang diberi rawatan di klinik kesihatan berhampiran sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 9:11 AM