KERETA Perodua Myvi dipandu mangsa remuk selepas bertembung dengan lori di Kilometer 3, Jalan Felda Teloi Timur, Sik, hari ini. (Gambar kecil), Mariani. FOTO ihsan pembaca.
KERETA Perodua Myvi dipandu mangsa remuk selepas bertembung dengan lori di Kilometer 3, Jalan Felda Teloi Timur, Sik, hari ini. (Gambar kecil), Mariani. FOTO ihsan pembaca.
Zuliaty Zulkiffli


WANITA maut manakala dua anaknya parah selepas kereta Perodua Myvi dipandunya bertembung dengan lori di Kilometer 3, Jalan Felda Teloi Timur, Sik, hari ini.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mariani Razak, 35, dari Felda Durian, Jalan Teloi Timur, Kuala Ketil meninggal dunia akibat kecederaan dalaman manakala dua anaknya, Nur Zariff Syafiyya Mohd Zaiful Shahril, 6, cedera dalaman dan kaki manakala Nu Zariff Syauqina Mohd Zaiful Shahril, 4, cedera dalaman dan patah tulang kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mariani dari Pekan Batu Lima, Sik gagal dikawal sebelum terbabas dan memasuki lorong bertentangan di tempat kejadian.

Beliau berkata, berikutan itu kereta terbabit bertembung lori dipandu Muhid Kassim, 45.

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta itu parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu lori pula cedera dan luka di bahagian kaki, tangan serta badan manakala dua anak wanita itu dibawa ke Hospital Sik untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdull Razak berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sik untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 9:36 PM