Pintu rumah mangsa yang diumpil oleh perompak dalam kejadian di Jalan Jambu, Felda Teloi Timur.Foto Ihsan PDRM
Pintu rumah mangsa yang diumpil oleh perompak dalam kejadian di Jalan Jambu, Felda Teloi Timur.Foto Ihsan PDRM
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Suami isteri kerugian lebih RM12,000 apabila wang tunai dan barang kemas dilarikan dua lelaki bersenjata parang dalam kejadian di Felda Teloi Timur, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi, pasangan terbabit sedang tidur dalam bilik di rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, suri rumah berusia 62 tahun itu tiba-tiba terjaga daripada tidur selepas terkena pantulan cahaya.

"Mangsa kemudian mendapati dua lelaki memakai topeng berada di dalam rumah sebelum berlaku pergelutan kecil antara salah seorang perompak dan suaminya.

"Disebabkan takut, mangsa terpaksa menyerahkan barang kemas dipakainya, manakala suaminya menyerahkan wang tunai dalam poket seluar kepada perompak yang kemudian melarikan diri," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Abdull Razak berkata, pemeriksaan awal polis mendapati pintu jeriji di bahagian hadapan rumah diumpil perompak dan usaha mengesan dua penjenayah terbabit sedang dilakukan.

"Pasangan suami isteri terbabit tidak mengalami kecederaan serius dan kita percaya perompak adalah warga tempatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana merompak menggunakan senjata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 6:35 PM