APLIKASI Google.
APLIKASI Google.
Muhammad Saufi Hassan


PENCARIAN enjin Internet paling popular, Google hari ini memudahkan pengguna terutamanya ibu bapa untuk mencari aplikasi yang bersesuaian dengan umur.

Ia adalah pengenalan kepada pilihan aplikasi khusus untuk kategori kanak-kanak selain lencana khusus 'diluluskan guru' yang baharu diperkenalkan.

Ibu bapa hanya perlu melancarkan pilihan tab untuk 'Kanak-kanak' di Google Play yang dipenuhi dengan aplikasi menghiburkan termasuk yang 'diluluskan oleh guru'.

Sebelum ini, ibu bapa pernah berkongsi bahawa sukar untuk mereka mengenalpasti kandungan sesuai bagi anak-anak mereka terutamanya aplikasi berfaedah untuk pendedahan pendidikan peringkat awal.

Untuk memudahkan pilihan ibu bapa, Google mengambil inisiatif untuk meletakkan kategori aplikasi termasuk penilaian yang diluluskan oleh guru.

Aplikasi-aplikasi ini dinilai atas faktor seperti kesesuaian umur, kualiti pengalaman, penggayaan, dan keriangan.

Menerusi senarai aplikasi, Google menyatakan aplikasi berkenaan dinilai tinggi bagi membantu ibu bapa menentukan sendiri sama ada aplikasi itu sesuai untuk anak mereka.

Aplikasi yang sudah dinilai oleh guru dan menepati piawaian kualiti Google menerima sebuah lencana iaitu 'Diluluskan Oleh Guru'. 

Aplikasi 'Diluluskan Oleh Guru' harus menepati piawaian keselamatan dan privasi iaitu 'direka untuk keluarga' dan disemak serta dipilih oleh guru untuk mengenal pasti aplikasi yang menyeronokkan serta memberi inspirasi yang akan disukai oleh kanak-kanak, dengan atau tanpa fokus terhadap pendidikan.

Google akan terus membantu keluarga menavigasi teknologi sepanjang Covid-19 dari pada aspek membantu ibu bapa menetapkan peraturan asas digital hingga ke perkongsian sumber untuk membimbing kanak-kanak supaya lebih selamat dalam talian.

Aspek keselamatan juga dititikberatkan apabila pemilik akaun Google boleh melakukan 'Family Link' dengan peranti anak mereka.

Aplikasi Family Link ini membantu ibu bapa membentuk tabiat yang sihat untuk anak-anak dan peringkat umur remaja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 9:09 PM