DR WAN AZIZAH. FOTO Arkib NSTP
DR WAN AZIZAH. FOTO Arkib NSTP
Zanariah Abd Mutalib


PKR masih belum memutuskan calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata Biro Politik parti itu akan bermesyuarat kelak bagi menentukan calon bagi PRK berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya sama ada PKR akan mencalonkan semula Dr S Streram yang sebelum dinamakan sebagai calon parti itu bagi PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di DUN Rantau.

“Nanti kita fikirkanlah. Memang dulunya Streram jadi calon di situ dan beliau teraniaya dengan tidak dibenarkan masuk (ke dalam Pusat Penamaan Calon). Ini menyebabkan kes itu dibawa ke mahkamah.

“Kita akan bincang sama-sama. Memang betul ia salah apabila beliau tidak dibenarkan masuk pada masa itu tapi kita nak fikirlah macam mana kita nak letakkan sesiapa apabila kita bertanding,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 bagi kementerian itu di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, satu kumpulan yang dinamakan Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan DUN Rantau meminta pucuk pimpinan parti supaya tidak mencalonkan Dr Streram bagi kerusi DUN Rantau, atas alasan beliau bukan anak jati kawasan itu dan tidak akan mendapat sokongan pengundi tempatan.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.

Pada 29 November tahun lalu, Mohamad memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Calon PKR bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr Streram merangkap Naib Ketua PKR Cabang Rembau, memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 12:22 PM